March 10, 2007

Sambutan Tahun Baru Cina

Setiap tahun, keluarga saya akan pergi ke Taiping, Perak untuk menziarahi keluarga ibu saya. Keadaan di situ sungguh meriah dan semua ahli keluarga akan bertemu di rumah nenek saya untuk makan malam. Kanak-kanak akan berlari merata tempat dan bermain dengan mercun.

Pada tahun ini pula, sambutan Tahun Baru Cina kami berbeza. Pada malam sebelum Tahun Baru Cina, kami telah bertemu dengan keluarga ayah saya di sebuah restoran makanan laut. Kami telah bertegur sapa dan berbual dengan mereka sambil memakan makan malam. Setelah lama tidak bertemu, banyak pula topik yang dibualkan.

Hidangan pertama ialah 'Low Sang' iaitu hidangan yang penting untuk sambutan Tahun Baru Cina. Hidangan ini terdiri daripada keropok, mee goreng yang berwarna-warni, obor-obor, madu dan beberapa bahan lain. Hidangan ini mesti digaul dan dimakan bersama-sama keluarga setiap Tahun Baru Cina. Selepas makan malam, kami terpaksa berpisah dengan saudara-mara kami kerana sudah lewat.

Keesokan harinya, iaitu hari pertama Tahun Baru Cina, kami telah bangun awal dan memakai pakaian baru. Perkara pertama yang telah kami buat ialah mengucapkan selamat Tahun Baru Cina kepada ibu bapa kami dan mengambil ang pau. Selepas itu, rakan-rakan kami mula datang untuk menziarahi kami. Mereka membawa oren dan pelbagai jenis biskut.

Pada waktu malam, ibu saya telah menyediakan 'steam boat' untuk makan malam. Antara bahan-bahan yang dimasukkan ialah ketam, sayur-sayuran, cendawan dan bebola ikan. Sebelum mula makan, kami telah 'pose' untuk mengambil gambar untuk diletakkan di blog ini (sila lihat di atas untuk gambar).

Walaupun terdapat cebisan-cebisan kertas dan sisa-sisa makanan di atas lantai, kami tidak boleh menyapu lantai kerana tindakan tersebut adalah dilarang semasa hari pertama Tahun Baru Cina. Adalah dipercayakan bahawa jika kami menyapu lantai pada hari tesebut, kami juga menyapu keluar tuah kami.

Untuk empat belas hari seterusnya, kami telah menziarahi kawan-kawan kami dan menjemput mereka ke rumah kami. Ada yang mengadakan jamuan di rumah mereka dan ada pula yang berkumpul dengan rakan-rakan untuk menyambut Tahun Baru Cina.

Tahun Baru Cina sudah berlepas untuk beberapa minggu tetapi biskut-biskut dan makanan untuk Tahun Baru Cina di rumah saya masih tidak dapat dihabiskan. Kesimpulannya, janganlah membeli terlalu banyak makanan dan minumam untuk sambutan Tahun Baru Cina. =D

Ying Jee

No comments: