March 10, 2007

Pertarungan Tuah dengan Jebat

Cerita ini berkisahkan kesetiaan Hang Tuah kepada raja dan semangat setia kawan Hang Jebat. Laksamana Hang Tuah pergi ke istana untuk menghapuskan Hang Jebat yang menderhaka kepada raja Melaka. Hang Jebat berasa hairan dengan kehadiran Hang Tuah kerana sebelum ini Hang Tuah telah mati dibunuh atas perintah raja. Hang Jebat menyatakan bahawa dia menderhaka kerana menyangka Hang Tuah telah mati dan ingin menuntut bela atas kematian Hang Tuah. Hang Jebat membuka pintu istana dan mereka berdua bertikam. Mereka terpaksa bertarung di atas talam besar kerana lantai istana diradak dari bawah dengan tombak. Konflik seterusnya adalah antara dua sahabat ini. Secara fizikal, mereka telah bertarung dengan hebat di dalam istana. Setelah bertarung dengan lama, Hang Tuah berjaya merampas keris Taming Sari ketika Hang Jebat dalam keadaan alpa. Akhirnya, Hang Tuah berjaya menikam dada Hang Jebat.

Cerita ini menyedarkan saya mengenai kepentingan nilai kesetiaan. Walau bagaimanapun, saya kurang memahami sikap manusia selepas membaca cerita ini.
Mengapakah Hang Tuah sanggup membunuh kawan karibnya yang menderhaka kepada raja kerana ingin menuntut bela atas kematian Hang Tuah?
Pada pendapat saya, pembunuhan ini tidak patut berlaku. Sebagai kawan, kita patut saling membantu dan bukannya membunuh. Dalam aspek ini, saya tidak menyokong keputusan Hang Tuah untuk membunuh Jebat.
Walau bagaimanapun, saya menyedari bahawa kesetiaan kepada ketua penting dalam sesebuah pentadbiran.

Hang Jebat juga membunuh 700 orang dayang dalam istana. Hang Jebat berbuat demikian atas dasar jika berbuat jahat biarlah sejahat-jahatnya. Saya tidak bersetuju dengan pandangannya. Adakah 700 orang dayang yang tidak berdosa patut dibunuh disebabkan oleh itu?

Hang Jebat harus dibunuh kerana membunuh insan yang tidak berdosa tetapi bukan untuk semangat setia kawannya.
Walaupun saya telah cuba untuk memahami cerita ini dengan sepenuhnya, saya tetap keliru. Saya mempunyai banyak soalan dalam hati saya. Rasanya cerita ini memang sukar difahami.


Adelyn

1 comment:

Anonymous said...

hang jebat setia kpd kawan.
hang tuah taat kpd raja.
sebab itu lah berlaku pertarungan tersebut~